STAFF WEBMAIL

PASSWORD


   

 
 
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


HOME > NEWS > DECONNEXION SASAR 90 PERATUS

DECONNEXION SASAR 90 PERATUS :
Separuh Liputan Meliputi Pedalaman Seperti Miri, Mukah, Sibu, Betong, Limbang

oleh Zuraidah Mohamed

Petikan daripada Berita Harian (Ekonomi), 9 Februari 2008

DANAWA Resources Sdn. Bhd., penyedia rangkaian dan aplikasi tanpa wayar di Sarawak, mensasarkan capaian perkhidmatan jalur lebarnya di seluruh negeri itu akan meningkat kepada 90 peratus menjelang akhir tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Hamad Sepawi, berkata ketika ini liputan jalur lebar deConnexion yang digunakannya adalah kira-kira 50 peratus meliputi kawasan pedalaman seperti Miri, Mukah, Sibu, Betong dan Limbang.

Katanya, syarikat bekerjasama dengan Sacofa Sdn Bhd bagi menyediakan perkhidmatan deConnexion pada kapasiti 54 megabait (mb) yang ditawarkan secara percuma kepada penduduk setempat bagi tempoh dua tahun sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan pihaknya berupaya membantu kerajaan mencapai sasaran 50 peratus penggunaan jalur lebar di kalangan penduduk Sarawak menjelang 2009 daripada kadar 1.3 peratus ketika ini.

"Menerusi deConnexion yang menggunakan teknologi prasarana tanpa wayar dari Amerika Syarikat dan Hong Kong, penduduk di kawasan paling terpencil juga mampu mendapat capaian perkhidmatan ini," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebelum ini, kerajaan Sarawak menyenaraikan Danawa dan Sacofa sebagai perintis dalam membangunkan projek liputan jalur lebar dan Wifi termasuk di kawasan luar bandar dan terpencil di negeri berkenaan.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta kepada kedua-dua syarikat bagi membiayai perkhidmatan itu dalam tempoh dua tahun pertama operasi, yang mana ia ditawarkan percuma kepada penduduk Sarawak.

Menerusi gabungan itu, Danawa akan membangun dan membekal prasarana lebuh raya digital untuk kawasan luar bandar manakala Sacofa, syarikat milik kerajaan negeri akan membekal kemudahan telekomunikasi awam serta menyediakan infrastruktur fiber optik.

Abdul Hamad berkata, pihaknya akan memohon peruntukan RM100 juta daripada kerajaan negeri bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar, termasuk penyediaan 250 Wifi HotZone dan akses internet yang menyeluruh kepada penduduk Sarawak.

Ketika ini, katanya, Sarawak mempunyai 70 Wifi HotZone termasuk di kawasan pedalaman seperti di Oya, Dalat dan Matu dan yakin menerusi projek itu, ia akan meningkat kepada 250 Wifi HotZone menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, liputan Wifi syarikat bersandarkan kepada piawaian industri iaitu 802.11 b/g yang membolehkan pengguna mengakses rangkaian tanpa wayar dan internet tidak kira tempat serta masa, dalam lingkungan rangkaian deConnexion.



 
 
 

PRESS RELEASES

ACTIVITIES

VIDEO


 
 

 

 

 

 

| FAQ | SITE MAP | Copyright 2008 DANAWA RESOURCES SDN. BHD. All rights reserved.