HOME > NEWS >Daunting Task

SEKOLAH LUAR BANDAR BAKAL DILENGKAPI WI-FI

Oleh Aziz Drahman, diterbitkan di Utusan Borneo, 23 Mei 2008
KERAJAAN NEGERI SASAR 50 PERATUS SEKOLAH AKAN DAPAT KEMUDAHAN ITU MENJELANG TAHUN DEPAN
KUCHING: Kerajaan negeri mensasarkan 50 peratus daripada sekolah termasuk kawasan luar bandar di negeri ini akan dilengkapi dengan kemudahan Wi-Fi menjelang hujung tahun depan, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata, dengan kemudahan teknologi itu, maka maklumat yang disampaikan oleh guru kepada pelajar akan menjadi lebih mantap kerana sumber yang diperolehi bukan hanya terbatas di dalam negeri tetapi seluruh dunia.
"Menyedari masalah kesulitan komunikasi yang terpaksa dihadapi oleh guru-guru terutama di kawasan luar bandar, maka kerajaan berusaha untuk meluaskan penggunaan Wi-Fi yang sekurang-kurangnya mampu mengatasi separuh daripada masalah komunikasi di sekolah-sekolah di Sarawak."
"Dengan ini, warga guru boleh mengeksploitasi kemudahan teknologi itu untuk mendapatkan aliran maklumat yang melimpah-ruah dari seluruh dunia bagi mendidik pelajar," katanya ketika ditemui
pada majlis Perayaan Hari Guru 2008 Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, semalam.
Sambil menggesa guru supaya mengikut perubahan teknologi semasa, Taib juga mahukan warga pendidik menjadi 'pemandu' bukannya 'pembawa maklumat' supaya pelajar akan datang dapat belajar di atas inisiatif sendiri melalui teknologi sedia-ada.
"Guru juga perlu mengikut perubahan teknologi dalam usaha untuk mewujudkan generasi baru yang diperlengkapkan dengan pelbagai maklumat global agar negara menjadi negara lebih makmur, dinamik dan fokus pada masa depan," ujarnya.
Sebagai contoh, beliau sendiri pernah diarah guru membuat karangan mengenai pengalaman pertama ketika menaiki kapal terbang kerana masyarakat ketika itu menganggap ia sesuatu yang menarik dan jarang berlaku.
"Tetapi kini, bayi berusia enam bulan sudah merasai pengalaman naik kapal terbang... ini suatu perkara biasa dan ia juga menunjukkan kemajuan sudah mulai meresap di kalangan masyarakat hari ini,"katanya bagi menjelaskan maksud mengapa guru perlu transformasi.
Hadir sama pada majlis itu ialah Datuk Amar Puan Sri Laila Taib, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abang johari Tun Abang Openg, Menteri Muda di Pejabar Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah, Menteri Muda Alam Sekitar Dr Rauf Abang Zen, dan Pengarah Pelajaran Sarawak Dr Julaihi Bujang.
Dalam pada itu, Taib menyifatkan warga pendidik berperanan penting sebagai penyambung usaha kerajaan untuk melahirkan generasi yang mampu menggerakkan pembangunan luar negara.




|